suria

PSM Buat Laporan Polis

KEPALA BATAS: Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada Selasa membuat laporan polis ke atas laporan akhbar Utusan Malaysia berhubung campur tangan pihak asing dalam membantu NGO mencetuskan huru-hara sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara.

Setiausaha Agungnya, S. Arutchelvan mengesahkan bahawa beliau telah membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara dekat Bertam.

Laporan polis itu dibuat atas apa yang telah disiarkan oleh Utusan, Selasa.

Dalam laporannya itu,Utusan menyebut Romeo Castillo dari Filipina dan Min Young Song dari Korea Selatan, sebagai agen asing yang datang ke sini untuk menjalankan propaganda negatif ke atas kerajaan, yang pada pandangan Arutchelvan adalah tidak benar.

"Bagaimana polis yang menahan mereka Ahad lalu membebaskan kedua-duanya jika benar mereka adalah agen asing," tegas Arutchelvan sambil menambah, Castillo sebenarnya adalah timbalan setiausaha Parti Labouring Masses yang datang ke sini atas jemputan PSM untuk menghadiri kongres PSM pada 3 hingga 5 Jun nanti.

Menurut laporan mereka ditahan di Johor bersama-sama dengan penyokong Bersih.

Young Song pula kata Arutchelvan adalah wakil Yayasan May 18 Korea Selatan yang berada di sini untuk menghadiri satu program anjuran sebuah NGO.

Kata Arutchelvan, walaupun pada mula ditahan polis tetapi mereka tidak pernah mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan haram atau mengedarkan risalah mahupun melakukan lain-lain aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang negara ini.

Tegasnya, adalah tidak masuk akal sama sekali bahawa mereka ini dituduh cuba terlibat mengulingkan Kerajaan Malaysia.

Hujung minggu lalu, 30 ahli PSM beserta ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar telah ditahan di Pulau Pinang dalam satu sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Sungai Dua apabila polis menemui beberapa helai kemeja-t yang mempunyai cop pemimpin Parti Komunis Malaya yang diharamkan seperti Ching Peng, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah.

Artikel Lain