suria

Perhimpunan Haram Ada Agenda Tersirat - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Perhimpunan haram yang dicadangkan diadakan 9 Julai kononnya berhubung perjalanan pilihan raya sebenarnya mempunyai agenda tersirat yang boleh memudaratkan keadaan di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata perkembangan itu dapat dilihat kebelakangan ini, dan walaupun agenda itu mungkin tidak dapat dilihat secara jelas, ia boleh menjejaskan dan menghuru harakan negara.

"Supaya tidak dituduh seperti biasa, apabila saya menyatakan bahawa ia merupakan satu konspirasi, pihak polis telah diminta untuk melaksanakan tugas mereka secara profesional.

"Pihak polis telah menyatakan bahawa semua yang hendak mengadakan perhimpunan pada 9 Julai tidak akan diberikan permit.

"Ini bermakna semua perhimpunan yang akan diadakan adalah perhimpunan haram dan mereka terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran dan persidangan kelengkapan khas polis di PICC di sini, Isnin.

Hishammuddin berkata polis telah menahan 30 individu berhubung penganjuran perhimpunan haram itu di seluruh negara.

"Polis telah mengambil tindakan di Pulau Pinang, di Johor. Tahanan telah dibuat dan siasatan mesti dijalankan," katanya.

Beliau berkata terdapat gerakan tertentu yang dirancang diadakan di Shah Alam, Johor dan Pulau Pinang.

Beliauberkata undang-undang sedia ada perlu digunakan kerana negara akan menjadi huru-hara jika perhimpunan sedemikian dicampuradukkan dengan politik, isu perkauman dan ideologi tertentu. "Rakyat jangan bimbang. Ini tugas dan amanah bukan untuk diri kita, bukan untuk kepentingan mana-mana puak tetapi untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain