suria

Mubarak Sokong Penuh Kerajaan BN Hadapi PRU

KUALA LUMPUR: Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) pada Rabu menyatakan sokongan padu kepada kerajaan bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Presiden Mubarak Datuk Seri Aziz Abdul Rahman berkata, kesemua 13 cawangan Mubarak di seluruh negara telah mengumpul data untuk mengkaji tahap penglibatan dan peranan ahlinya tanpa menggugat keadaan landskap politik negara.

"Sehubungan itu, kami akan melaksanakan gerak kerja pada 14, 15 dan 16 Julai depan bagi meninjau keadaan politik semasa negara di seluruh negeri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Selasa.

Ahli Mubarak di seluruh negari kecuali Sarawak pada ketika ini mencecah 715 orang.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan pertama daripada ahli Mubarak selepas pemilihan jawatankuasa barunya.

Dalam mesyuarat agung Mubarak di Sabah baru-baru ini, Aziz berkata, Najib bersetuju untuk mengisytiharkan 6 Mei setiap tahun sebagai sambutan Hari Mubarak di seluruh negara.

"Kami gembira dengan sokongan penuh Perdana Menteri. Kita akan mengadakan mesyuarat agung setiap tahun untuk mengkaji setiap tindakan yang dilakukan," ujarnya.

Menurut Aziz, Mubarak akan memperluaskan cawangannya ke Sarawak untuk melengkapkan kesemua 14 cawangan di seluruh negara.

"Kita akan bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak dalam masa terdekat untuk berbincang mengenai penubuhan cawangan di negeri itu," ujarnya.

Sementara itu, Aziz turut meminta kerajaan supaya menimbang semula skim pencen ahli Mubarak untuk memastikan setiap ahlinya menerima ganjaran setimpal dengan perkembangan situasi ekonomi semasa.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut menggesa kerajaan supaya bertindak segera dalam menghalang perhimpunan Bersih daripada terus diadakan pada 9 Julai ini.

"Kerajaan kena tegas dalam perkara seperti ini. Saya hairan bagaimana fahaman komunis boleh timbul kembali pada era moden sedangkan ianya sudah lama terkubur," katanya.

Artikel Lain