suria

Mahkamah Syariah Perlu Cekap Kendali Kes, Buat Keputusan Segera - Raja Dr Nazrin Shah

TAPAH: Mahkamah Syariah perlu cekap mengendalikan kes di samping hakim perlu tegas supaya kes dapat dihakimi dan diputuskan dengan segera, titah Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda bertitah segala kerenah yang secara sengaja menangguhkan kes hingga berlarutan terlalu lama tidak wajar dilayan kerana ini secara tidak langsung menidakkan keadilan dari dilaksanakan.

"Beta sering disembah maklumkan bahawa kes keluarga yang melibatkan penjagaan anak dan tuntutan penceraian ada yang mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan," titah baginda.

Lebih menyedihkan apabila anak-anak yang tidak berdosa turut melalui gangguan emosi melihat perbalahan ibu bapa berlarutan, ujar baginda.

"Pihak yang berselisih mengadakan pelbagai alasan dan helah untuk sengaja melengahkan prosiding," titah baginda ketika merasmikan bangunan Mahkamah Syariah di sini Selasa.

Raja Dr Nazrin menegaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Negara bebas daripada campur tangan mahkamah sivil.

Para hakim, pegawai mahkamah dan peguam syarie mempunyai tanggungjawab perundangan, sosial dan syarak kepada pihak yang dibicarakan, negara untuk mempertahankan integriti mahkamah dan kepada Allah untuk memenuhi amanah, titah baginda.

Baginda bertitah pihak yang bertelingkah turut mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga, anak-anak, mahkamah dan yang lebih utama terhadap Allah untuk berniat murni dan bersikap adil.

"Laksanakan setiap tanggungjawab ini berlandaskan prinsip keadilan sejati dalam semangat yang mengutamakan keadilan. Keadilan tidak mungkin dapat dilimpahkan jika roh keadilan tidak terkandung dalam sanubari mereka yang telah diberikan amanah untuk melaksanakan keadilan," titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah keadilan akan 'tergelincir' manakala mahkamah dilihat sebagai panggung bangsawan yang penuh dengan lakonan sekiranya undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten kerana falsafah penggubalan sesuatu undang-undang itu telah 'ternoda'.

Ketidakadilan akan berlaku dan akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa seterusnya penindasan serta kezaliman dibenarkan berlaku dalam sesuatu pemerintahan, titah baginda.

Bangunan Mahkamah Syariah Tapah dua tingkat yang siap dibina pada Mac 2010 dengan kos RM6 juta ini menempatkan ruang pejabat dan dewan mahkamah yang selesa serta dilengkapi sistem rakaman prosiding berkomputer. - BERNAMA

Artikel Lain