suria

Mahkamah Berhak Tayang Video Seks - Nazri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret mempunyai hak untuk menggunakan kuasanya dalam menimbangkan sama ada mahu atau tidak menayangkan video seks yang didakwa memaparkan individu mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata tidak timbul sebarang persoalan sama ada perbuatan itu salah atau betul kerana pada hakikatnya mahkamah mempunyai kuasa bagi membolehkan video itu ditayangkan.

"Mahkamah itu mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan sama ada mahu membenarkan penayangan video berkenaan.

"Isu pokoknya adalah sama ada mahkamah mempunyai kuasa atau tidak," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2011 pada persidangan Dewan Rakyat di sini Isnin.

Jumaat lepas, trio 'Datuk T' - ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim, didenda oleh Mahkamah Majistret kerana terlibat dalam menyiarkan video berkenaan kepada khalayak awam.

Ia juga ditayangkan di Mahkamah Majistret bagi disahkan oleh kesemua tertuduh.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan Rang Undang-Undang itu yang bertujuan menaikkan pencen maksimum bagi Hakim dan membolehkan seseorang Hakim menerima pencen maksimum yang tidak lebih daripada tiga perlima daripada gaji akhir yang diterimanya.

Rang undang-undang itu juga bertujuan menaikkan tempoh perkhidmatan seseorang hakim untuk layak mendapat pencen maksimum daripada 15 tahun kepada 18 tahun.

Bagaimanapun, tempoh perkhidmatan boleh mengambil kira tempoh beliau berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Pindaan Fasal 5 akta berkenaan pula memperuntukkan bahawa seseorang yang memegang jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden atau Hakim Besar berhak mendapat pencen maksimum jika telah memegang salah satu jawatan atau kesemua jawatan itu tidak kurang daripada tiga tahun.

Pindaan itu akan terpakai bagi kedua-dua Hakim yang sedang berkhidmat dan telah bersara dan ia melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan berjumlah kira-kira RM1.8 juta setahun.

Persidangan dewan disambung Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain