suria

Bersih 2.0: Polis Ambil Kenyataan Ahli Parlimen Pembangkang

KUALA LUMPUR: Polis pada Selasa mengambil keterangan daripada dua Ahli Parlimen pembangkang berkaitan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Mereka ialah Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Mohd Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) di lounge Ahli Parlimen di sini.

Pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dilihat merakamkan kenyataan daripada kedua-dua wakil rakyat pembangkang berkenaan.

Menurut Azmin, beliau disoal siasat kerana didakwa menjemput orang ramai supaya menyertai perhimpunan Bersih dalam ceramahnya ketika program Jelajah Selangor di Sabak Bernam, dua minggu lalu.

"Saya menerima panggilan daripada polis pada tengah hari semalam bahawa mereka mahu mendapatkan keterangan daripada saya.

"Saya bersetuju untuk mengatur pertemuan tapi secara tiba-tiba mereka muncul di Parlimen, jadi saya keluar dari dewan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Selasa.

Azmin berkata, ketika pertemuan selama 30 minit itu kebanyakan soalan yang ditanya adalah berdasarkan ucapan beliau di Sabak Bernam tempoh hari.

"Saya enggan jawab soalan polis kerana menggunakan hak di bawah Seksyen 112 (2) Kanun Prosedur Jenayah," jelasnya.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata beliau ditemui polis untuk diambil keterangan berhubung dua ceramah yang diadakan di Kuala Selangor dan Sungai Besar.

Bagaimanapun beliau memberitahu PAS telah meluluskan satu usul menyokong perhimpunan Bersih pada Muktamar Agung Pas ke-57 awal bulan ini.

Artikel Lain