suria

Bekas Eksekutif Pentadbiran Didakwa Pecah Amanah RM185,900

SHAH ALAM: Seorang bekas eksekutif pentadbiran sebuah kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM185,900, empat tahun lalu.

Ikhsan Ismail, 29, dengan suara yang tersekat-sekat juga memberitahu Hakim Mohd Fadhir Harun bahawa dia sebenarnya adalah mangsa kejadian dalam kes tersebut.

"Duit-duit itu tidak dimasukkan ke dalam akaun saya," tambahnya.

Bagaimanapun, Mohd Fadhir berkata perkara itu perlu dibuktikan oleh tertuduh pada perbicaraan di masa hadapan.

Ikhsan didakwa melakukan pecah amanah itu ke atas cek-cek milik ppenyewa yang sepatutnya diserahkan kepada syarikat tempat dia bekerja, Alloy Consolidated Sdn Bhd yang terletak di nombor 1441, Jalan SBC1, Taman Sri Batu Caves, Gombak, dekat sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara memasukkan cek-cek tersebut ke dalam akaun bank miliknya untuk kegunaan dirinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara Julai 2007 hingga Disember 2009.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Ikhsan merayu agar mahkamah mengurangkan jumlah jaminan RM50,000 yang ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iswa Tonie atas alasan dia dia hanya dapat mengumpulkan wang sebanyak RM5,000 sahaja.

Mohd Fadhir membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasportnya ke mahkamah.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 26 Julai depan untuk tertuduh melantik peguam.

Artikel Lain