suria

Anifah Ketuai Delegasi Malaysia Ke Mesyuarat Menteri Luar OIC Di Kazakhstan

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengetuai delegasi Malaysia yang terdiri dari pegawai kementerian dan agensi pada sesi Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke-38 di Astana, ibu negara Kazakhstan, bermula Rabu.

Menurut satu kenyataan kementerian di sini, persidangan tiga hari itu dijangka menimbang cadangan baru dari negara-negara anggota dan mengkaji semula kemajuan dalam pelaksanaan resolusi-resolusi OIC yang telah digunapakai semasa sesi sebelum ini tahun lepas.

Malaysia akan mengemukakan kepada majlis itu mengenai keperluan bagi meningkatkan kerjasama ekonomi, membasmi kemiskinan dan kerjasama di dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi.

Dalam sesi majlis ini juga memberi peluang kepada Malaysia untuk membaharui kedudukannya berhubung isu utama politik antarabangsa, ekonomi dan sosial dan meningkatkan peranan yang dimainkan Malaysia mengenai perkara-perkara berkenaan ummah, kata kenyataan itu.

Anifah juga dijangka menemui rakan sejawatannya dari beberapa buah negara OIC untuk perbincangan dua hala semasa sesi itu, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain