suria

Saman Felda Terhadap Wan Azizah & Dr Tan Didengar Berasingan

KUALA LUMPUR: Saman fitnah RM200 juta yang difailkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wan Azizah Ismail dan tiga defendan yang lain akan didengar secara berasingan daripada saman Felda terhadap bekas Timbalan Menteri Tanah, Pembangunan dan Koperasi, Dr Tan Kee Kwong.

Permohonan agar kedua-dua saman itu didengar secara bersama dibuat oleh Wan Azizah dan Senator Dr Syed Husin Ali; Editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib serta wartawan akhbar itu, Rusnizam Mahat yang dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut.

Peguam N. Surendan yang mewakili defendan-defendan menghujahkan bahawa permohonan untuk menggabungkan saman itu dengan saman terhadap Tan dibuat atas alasan mahu menjimatkan masa, selain atas faktor bahawa ia akan melibatkan isu dan fakta yang sama.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O'hara pada Isnin, menolak permohonan defendan dengan kos RM2,000 kerana berpendapat permohonan tersebut bersifat tidak matang.

Pada prosiding itu, Felda selaku plaintif diwakili oleh peguam-peguam Datuk Mahinder Singh Dulku dan Datuk Firoz Ahmad Jamaluddin. Pada 16 Ogos 2010, Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Wan Azizah, Syed Husin, Dzulkarnain, dan Rusnizam kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam akhbar milik parti PKR, Suara Keadilan.

Felda mendakwa akhbar itu telah menerbitkan dua artikel yang didakwa bersifat memfitnah pada 22 Jun 2010 dan 29 Jun 2010.

Felda mendakwa artikel pertama bertajuk "Felda Bangkrap" dan artikel kedua berserta gambar bertajuk "Kontroversi" dan "Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu" berunsur fitnah yang boleh menyebabkan reputasi plantif terjejas.

Pada 25 Januari lalu pula, Felda memfailkan saman terhadap Tan, yang menyertai PKR pada 6 September 2008 atas dakwaan memfitnah melibatkan artikel yang sama.

Felda mendakwa, Tan telah mengeluarkan kata-kata fitnah tersebut semasa beliau ditemuramah oleh wartawan Suara Keadilan, Faizal Zakaria beberapa hari sebelum 22 Jun 2010.

Menurut plaintif lagi, Tan mengetahui bahawa pernyataan fitnah yang dibuat kepada wartawan terbabit sepanjang temuramah berlangsung akan disiarkan dalam akhbar itu.

Plaintif seterusnya mendakwa, fitnah serius oleh defendan boleh menyebabkan penghinaan dan mengaibkan kedua-duanya di khalayak ramai, masyarakat negara ini dan luar negara selain mendatangkan kerugian yang maksimum.

Pada 17 Jun lalu, Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan agar saman terhadap Tan didengar pada 7 hingga 12 Julai ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain