suria

Najib Minta Sokongan PBB Terhadap Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta sokongan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon terhadap misi antarabangsa Freedom Flotilla II ke Gaza dengan berkata misi tersebut "hanya mahu menyampai bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan kesengsaraan rakyat Palestin".

"Saya memohon kerjasama anda untuk mengadakan wakil daripada PBB untuk memeriksa semua vesel dan mereka yang terlibat bagi memberi jaminan kepada dunia terutama kerajaan Israel, bahawa mereka hanya mengangkut bantuan kemanusiaan," kata perdana menteri dalam sepucuk surat kepada Ban.

Badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia adalah antara ratusan sukarelawan dari pelbagai negara yang menyertai misi itu termasuk 10 buah kapal.

Najib turut menggesa Ban untuk meminta kerajaan Israel supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap flotila tersebut.

"Saya percaya boleh wujud penyelesaian aman kepada semua ini sekiranya kerajaan Israel membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan," katanya dalam surat itu.

Perdana Menteri berkata pelayaran tersebut adalah atas sebab kemanusiaan sempena pelbagai keputusan dan resolusi PBB terutama Resolusi Majlis Keselamatan 1860 (2009) PBB yang menyeru kepada "peruntukan dan pengedaran tanpa sekatan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, bahan api dan rawatan perubatan di seluruh Gaza". - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain