suria

Muhyiddin Tiba Di Washington Untuk Mulakan Lawatan Kerja Empat Hari

WASHINGTON: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini Ahad untuk memulakan lawatan kerja selama empat hari ke ibu negara Amerika Syarikat ini bagi menghadiri perhimpunan bioteknologi terbesar dunia Konvensyen Antarabangsa Bio.

Pada konvensyen yang berlangsung di Pusat Konvensyen Walter E. Washington, beliau dijangka merasmikan pameran dan menghadiri majlis pembuka tirai acara BioMalaysia 2011 dan Sidang Kemuncak Lingkaran Pasifik 2011 mengenai Industri Bioteknologi dan Biotenaga.

Muhyiddin juga dijangka menyaskikan beberapa acara menandatangani memorandum berkaitan industri bioteknologi dan bertemu tokoh-tokoh bioteknologi terkemuka.

Konvensyen tersebut menarik penggerak dalam bioteknologi dan menawarkan peluang jalinan rangkaian dan perkongsian serta memberi kefahaman dan inspirasi mengenai trend yang melibatkan industri berkenaan.

Malaysia menerusi Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) sering menyertai kovensyen tahunan ini dan tahun ini merupakan penyertaannya kali ketujuh.

Muhyiddin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta anggota delegasi yang lain tiba kira-kira 3 petang (3 pagi Isnin, waktu Malaysia) di Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles dan disambut oleh Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

Timbalan Perdana Menteri dan anggota delegasinya kemudiannya dibawa ke Four Seasons Hotel tempat penginapan mereka sepanjang berada di sini.

Semasa di sini, Muhyiddin turut dijadual menghadiri majlis makan tengah hari meja bulat yang dihoskan oleh Majlis Perniagaan Amerika-Asean serta melawat University of Maryland, College Park.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kanan Amerika semasa sarapan pagi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain