suria

KITA Kedah Buat Laporan Polis Berkenaan Laporan Palsu Anwar

SUNGAI PETANI: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah pada Ahad membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu laporan palsu di IPD Dang Wangi pada Mac lalu.

Pengerusinya Zamil Ibrahim berkata pihaknya menganggap dan percaya bahawa Anwar cuba melakukan perbuatan itu berhubung isu pendedahan video seks yang dikaitkan dengannya bagi menyelamatkan dirinya.

KITA memohon polis mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang cuba mempermainkan undang-undang negara termasuk isu membuat laporan palsu oleh Anwar, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Zamil juga meminta polis mengambil tindakan dengan kadar segera terhadap Anggota Parlimen Sungai Petani daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Johari Abdul kerana cuba menerbitkan dan mengedarkan cakera padat video (VCD) 'versi Johari" yang boleh mengelirukan rakyat negara.

Jumaat lepas, portal berita Malaysiakini melaporkan Johari mengeluarkan versi video seks yang disunting kepada media. Video 'versi Johari' itu telah dimuat naik ke Youtube.

Johari yang bertindak sebagai pengulas dalam video 'versi Johari' itu cuba menunjukkan perbandingan fizikal antara Anwar dan juga pelaku dalam video seks itu, bagi membangkitkan setiap keraguan yang ada dan cuba membuktikan Anwar bukan lelaki dalam video seks terbabit. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain