suria

Dua Lori Bersama 26,000 Liter Minyak Subsidi Disita

KUANTAN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang berjaya menyita dua buah lori yang bermuatan minyak diesel bersubsidi sebanyak 26,000 liter di sebatang jalan di Indera Mahkota 14 di sini, Isnin.

Timbalan PPDNKK Pahang Alwi Abdul Hamid berkata turut ditahan dalam kejadian pukul 1.30 petang itu adalah dua pemandu lori berkenaan atas kesalahan memiliki barang-barang kawalan bagi tujuan melakukan kesalahan.

"Penahanan itu dibuat oleh pegawai PPDNKK yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan di mana dua buah lori itu ditemui dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan ke atasnya," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lori berkenaan sedang melakukan pemindahan minyak bersubsidi 26,000 yang bernilai RM46,800.

Katanya lori yang beralamat di Seremban, Negeri Sembilan itu dipercayai mengambil bekalan dari Tanjung Gemok, Rompin untuk kegunaan industri di daerah Kuantan.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Peraturan 3(3) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala denda RM250,000 bagi syarikat.

Sejak Januari lepas hingga hari ini, Alwi berkata PPDNKK Pahang berjaya menyita 133,061 liter minyak subsidi yang bernilai RM239,509 yang melibatkan 19 kes. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain