suria

Cubaan Hidupkan Komunisme Satu Rancangan Jahat - Rais

KUALA LUMPUR: Cubaan pihak tertentu untuk menghidupkan kembali fahaman komunisme di negara ini merupakan rancangan jahat untuk merampas kuasa secara haram dengan cara menghuru-harakan pemikiran rakyat, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata rancangan itu jelas menunjukkan pihak terbabit tidak mempunyai cara lain untuk mempengaruhi rakyat, sehingga sanggup menghidupkan fahaman yang menyalahi undang-undang negara.

"Fahaman dan amalan komunisme di Malaysia adalah haram di sisi undang-undang dan tidak diiktiraf di Malaysia dan ini telahpun distemkan dalam perjuangan negara, dalam semangat perlembagaan dan juga dalam segala amalan demokrasi.

"Ia bukan sahaja diharamkan di sini malah di Singapura, Brunei dan negara-negara lain. Perkara ini (sepatutnya) tidak timbul lagi," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, Isnin.

Rais berkata perkara terbabit tidak seharusnya dipermainkan atau dijadikan bahan politik dan tindakan tegas harus dikenakan terhadap mereka yang terlibat. "Rakyat yang mempunyai pemikiran waras, berkeluarga, berpendidikan, berniaga dan mempunyai kepentingan lain, harus bangkit menentang program jahat yang tidak sah di sisi undang-undang negara ini," katanya.

Semalam, polis menahan sekumpulan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) di plaza Tol Sungai Dua di Kuala Batas dan merampas pelbagai barangan seperti risalah dan baju T yang tertulis nama Chin Peng, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah yang mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM).

Kumpulan berkenaan yang menaiki sebuah bas persiaran dipercayai dalam rangka kempen berkaitan perhimpunan haram yang dijadualkan 9 Julai ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain