suria

BN Kedah Adakan Konvensyen September Ini

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah akan mengadakan Konvensyen BN Negeri pada 24 September ini yang akan dihadiri lebih 15,000 anggota daripada semua parti komponen.

Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pelbagai isu akan dibincangkan pada konvensyen berkenaan tetapi tumpuan sudah pasti kepada persiapan dan gerak kerja parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Konvensyen itu diadakan bagi membincangkan perkara yang telah dibincangkan pada mesyuarat BN Kedah yang diadakan malam tadi yang telah dihadiri oleh semua pemimpin parti komponen BN," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah berkata mesyuarat BN itu juga meluluskan penubuhan satu jawatankuasa kerja berkaitan pengurusan isu yang melibatkan penyertaan wakil semua parti komponen.

"Tanggungjawab jawatankuasa itu ialah koordinasi isu-isu dan perkara berkaitan di kalangan parti komponen kerana selama ini setiap parti bergerak secara sendirian," katanya.

Jawatankuasa khas itu akan diketuai Setiausaha BN Kedah Datuk Md Rozai Safian.

Konvensyen BN Negeri akan diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Mu’adzam Shah, Anak Bukit di sini selama satu hari dan pada hari itu juga akan turut diadakan rumah terbuka Aidilfitri BN Kedah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain