suria

Rakyat Diminta Beli Barangan Buatan Malaysia Bantu Ekonomi Negara

SANDAKAN: Kerjasama dan peranan aktif rakyat diperlukan terhadap kempen Beli Barangan Malaysia bagi membantu mempertingkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kempen itu yang pada tahun lepas mencapai nilai jualan sebanyak RM26 juta merupakan satu daripada aktiviti nilai tambah yang mampu membantu merangsang ekonomi negara.

Katanya ini menunjukkan peranan pengguna dapat membantu meningkatkan permintaan domestik negara melalui perbelanjaan harian mereka.

"Kita perlu sentiasa mempunyai persepsi positif bahawa jenama produk tempatan mempunyai kualiti yang setaraf atau lebih tinggi dari produk luar negara," katanya pada perasmian Ekspo Beli Barangan Malaysia peringkat negeri Sabah di sini malam Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Elopura Au Kam Wah.

Ismail Sabri berkata ekonomi negara telah kembali pulih setelah mampu menangkis kelembapan ekonomi global, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.2 peratus pada tahun lepas melepasi sasaran 7 peratus.

Katanya bagi suku pertama tahun ini pula, KDNK negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus.

Beliau berkata permintaan domestik dijangka semakin kukuh disokong oleh Program Transformasi Ekonomi yang dilancarkan pada Oktober tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain