suria

Pemuda Umno Tetap Adakan Himpunan 9 Julai

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno bertegas akan tetap mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 9 Julai ini walaupun polis tidak mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana kumpulan yang menyertainya.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata selain Pemuda Umno, Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) dan MIC akan turut serta dalam perhimpunan tersebut.

"Kita akan teruskan Himpunan Pemuda Barisan Nasional (BN) pada 9 Julai ini. Kita jangka 10,000 ahli kita menyertai perhimpunan itu nanti.

"Walaupun permit tidak akan diberikan, pihak yang lain pun akan teruskan juga perhimpunan ini. Saya nampak lebih baik kita teruskan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung PPP 2011 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini, Jumaat.

Ditanya sama ada tindakan beliau itu bertentangan dengan pendirian Umno dan kerajaan, Khairy berkata Pemuda Umno punya pendirian tersendiri dalam isu tersebut.

“Kalau saya ikut cakap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kamu kata Pemuda Umno lemah, tidak punya pendiriannya sendiri... kalau saya buat pun keadaannya sama. Oleh itu, lebih baik saya teruskan sahaja dengan perhimpunan ini.

“MCA tidak akan sertai perhimpunan ini, kita hormati pendirian mereka dan kita tak paksa mereka menyertainya,” katanya.

Sebelum ini, Hishammuddin telah memberi amaran bahawa pihak polis tidak akan mengeluarkan sebarang permit serta mereka mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan yang menyertai perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

Malah beliau yang juga Naib Presiden Umno menegaskan tiga kumpulan yang merancang untuk mengadakan perhimpunan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kerana mengadakan aktiviti mereka tanpa permit daripada pihak polis.

Kumpulan terbabit ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Pemuda Umno dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).

Ketika ditanya sama ada beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata sehingga hari ini beliau tidak mendapat sebarang arahan supaya hadir ke Bukit Aman.

“Polis Bukit Aman tahu pergerakan saya. Saya juga telah menghantar pesanan di twitter saya yang memaklumkan bahawa saya akan berangkat ke Gaza, Ahad ini.

“Kalau mereka hendak panggil saya mereka boleh panggil saya secapat mungkin melainkan mereka sekat saya daripada ke luar negara,” katanya.

Artikel Lain