suria

Kuota Ahli Majlis Tidak Seperti Dijanjikan

PETALING JAYA: Ahli Majlis Perbandaran yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) di Selangor berang apabila hanya 10 daripada mereka dilantik untuk memegang jawatan itu.

Mereka berasa tertipu kerana telah dijanjikan satu pertiga daripada 72 kerusi Ahli Majlis selepas kemenangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008.

Sebaliknya, hanya 17 Ahli Majlis di kalangan NGO telah dilantik.

Kini, walaupun Selangor menjanjikan 71 kerusi tetapi hanya 10 daripada Ahli Majlisnya terdiri daripada kalangan NGO.

Pengerusi Gabungan NGO dan Profesional Yang Dilantik Ahli Majlis (Conpac), Tan Jo Hann berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat gagal menunaikan janji pada pilihan raya untuk berurusan dengan rakyat menerusi wakil NGO yang tidak bergabung dengan parti politik.

"Kami dijanjikan 30 peratus pada kempen pilihan raya tapi selepas Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, 25 peratus daripada 288 kerusi dalam 12 Majlis Perbandaran dipersetujui.

"Namun 25 peratus atau kuota 72 Ahli Majlis di kalangan NGO tidak dipenuhi," katanya sambil menegaskan 72 Ahli Majlis mesti bebas daripada pengaruh politik.

Jo Hann berkata, pada penggal pertama 2008-2009, hanya 17 wakil NGO dilantik sebagai Ahli Majlis dan jumlah itu kekal pada 2009-2010.

"Bagaimanapun, perwakilan berkurangan kepada 10 Ahli Majlis bagi penggal 2010-2011.

"Orang ramai boleh melihat sendiri peratusan dalam dua penggal pertama adalah 5.9 peratus. Kini, ia 3.5 peratus dan bukan 25 peratus seperti yang diumumkan dalam risalah kerajaan negeri," katanya.

Tan yang juga Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata kepentingan pembayar cukai pintu tidak dapat disampaikan kepada perwakilan sedia ada jika Ahli Majlis di kalangan NGO tidak bersepakat dengan ahli politik yang dilantik dalam Majlis Perbandaran.

Katanya, ahli politik mungkin lebih prihatin isu berkaitan politik berbanding permasalahan rakyat.

"NGO kami mahu memberikan terbaik kepada rakyat yang diwakili sama ada dari segi penilaian atau perkhidmatan yang efisien.

"Saya yakin kerajaan negeri akan menyangkal bahawa Conpac tidak menyedari wujud pelantikan NGO lain dalam majlis berbeza,"tegasnya,

Ahli Majlis yang penggal perkhidmatannya akan tamat pada Disember akan mula 'berkempen' kerana penilaian akan dilakukan terhadap 288 ahli pada Ogos.

Dalam risalah, Achievement-Local Government, Research and Studies Standing Committee yang diedarkan sejak Januari menyatakan anggota Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu mendakwa 25 peratus daripada Ahli Majlis terdiri daripada NGO.

Wakil NGO MPSJ, K.Arumugam yang juga pengerusi Suara Rakyat Malaysia berkata negeri Selangor perlu bertanggungjawab dan telus dalam pelantikan Ahli Majlis di kalangan NGO dan profesional.

Ahli Majlis MPSJ, Dr Loi Kheng Min berkata wakil NGO mestilah tidak bergabung dengan parti politik.

"Bagi kuota di bawah NGO dan golongan profesional, kami mesti memiliki enam wakil dalam setiap Majlis, menjadikan jumlah 72 ahli seperti yang dipersetujui pada 2008. Ahli Majlis mestilah dari kawasan sekitar dan bukannya dibawa dari kawasan lain," jelasnya.

Artikel Lain