suria

Hanya Kemenangan Dalam Pilihan Raya Bawa Erti - Najib

RAWANG: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata yang paling penting bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti politik adalah untuk berjaya dalam pilihan raya kerana menurutnya dalam politik hanya kemenangan membawa erti.

Justeru itu, Perdana Menteri dan Presiden Umno itu berkata dalam pilihan raya tidak ada istilah naib johan, sepertimana dalam sesuatu pertandingan biasa yang turut menyediakan hadiah untuk naib johan.

"Untuk pilihan raya hanya johan sahajalah yang ada erti dan makna bagi kita...dan kita semua sedar bahawa menjadi naib johan bererti kita kalah dalam waktu pilihan raya.

"(Dan) kita tahu nasib parti yang kalah," kata Najib ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Selayang di Perangsang Templer Golf Club di sini, Sabtu.

Perdana Menteri berkata yang penting dalam keadaan dan landskap politik hari ini adalah untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran kerana kalau menggunakan cara dan kaedah lama "kita boleh menang perang lama, perang baru tidak tentu lagi".

Menurut Perdana Menteri sebagai parti politik dalam dunia demokrasi berparlimen, tidak ada parti di negara ini yang lebih cemerlang daripada Umno dan BN daripada segi kejayaan yang telah dicipta.

Namun katanya, Umno dan BN sedar bahawa kehebatan masa silam tidak akan menjamin kelangsungan kuasa pada masa akan datang.

Ini kerana landskap politik negara, persekitaran dan pemikiran masyarakat sudah banyak berubah berbanding masa-masa lalu dan menurutnya antara faktor membawa perubahan itu adalah ledakan revolusi maklumat dan tahap pendidikan semakin tinggi.

"Kita tidak boleh berbangga dengan kegemilangan sejarah...bila berdepan dengan ancaman kita tidak boleh kaku, tidak mahu melakukan pembaharuan dan pembugaran, dan (jika) takut pada perubahan, orang lain akan manguasai kita sebab orang lain melakukan perubahan (tapi) kita tak lakukan perubahan...kita tak boleh berbangga dengan simbol dan imej sahaja tetapi pengisiannya kurang," katanya.

Dalam konteks ini, Perdana Menteri meminta anggota parti mewujudkan satu perikatan baru iaitu menjalin hubungan dan ikatan dengan pelbagai peringkat dan golongan masyarakat di kawasan masing-masing, bagi memastikan sokongan rakyat kepada parti.

"Satu perikatan baru di mana kita menjalin hubungan yang begitu baik dengan pelbagai golongan dalam kawasan sendiri...kita mesti ada ikatan dengan orang miskin...golongan pertengahan, penjaja, peniaga, PIBG, badan belia, pertubuhan serta kalangan Melayu dan bukan Melayu...mereka lah yang akan tentukan sama ada Umno menang dalam pilihan raya ataupun (tidak)," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan anggota parti bahawa dua perkara perlu diberi perhatian untuk mencapai kejayaan dalam politik.

Pertamanya, katanya berkaitan perkiraan angka iaitu siapa yang ada angka lebih dia menang dan keduanya politik adalah berkisar kepada tanggapan ataupun persepsi dan dengan itu persepsi positif di kalangan minda rakyat mengenai parti sentiasa perlu dibina.

"Ingat dua perkara ini sahaja...Bina dan cari angka (sokongan dan kemenangan kerusi) lebih pada kita. Kurangkan musuh kita, (tapi) tambahkan lagi sokongan orang pada kita.

"Cuba bangunkan persepsi yang positif... kalau mereka (pembangkang) cuba mencela kita...kita buat cara, lain, kita counter mereka dan kita tunjukkan persepsi yang lebih baik," kata Najib.

Najib turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa beliau mahukan "calon boleh menang" daripada Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang kerana rakyat akan menilai setiap individu yang diletakkan sebagai calon nanti.

"Saya tahu zaman dulu letak songkok (pun) boleh menang...ada orang kata letak batang pisang pun boleh diterima. Tapi zaman sekarang orang lihat individu dan individu itu mesti ada kualiti sebagai pemimpin baru yang dapat sambutan. Sebab itu saya tekankan konsep "winnable candidate" (calon boleh menang)," katanya.

Perdana Menteri juga mahu Umno Bahagian Selayang berusaha memastikan kemenangan kesemua tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Selayang dan juga kerusi Parlimen itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Parlimen Selayang kini dimiliki Parti Keadilan Rakyat (PKR), begitu juga DU NRawang, manakala DUN Kuang dan DUN Taman Templer dikuasai BN. -BERNAMA

Artikel Lain