suria

Garis Panduan Pembedahan Kecantikan Akan Dikeluarkan - Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan garisan panduan mengenai pembedahan kecantikan dalam waktu terdekat bagi mengelakkan orang ramai daripada terpedaya dengan khidmat yang ditawarkan pusat kecantikan tidak bertauliah.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata garis panduan itu adalah penting kerana kes-kes yang dilaporkan melibatkan kerosakan daripada pembedahan kecantikan dilihat meningkat kebelakangan ini.

"Ia menimbulkan kebimbangan yang tinggi kepada pihak kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen Pendidikan Kesihatan dan Kesedaran Kesihatan (HEHA 2011 di sini, Sabtu.

Dengan penerbitan garis panduan itu, beliau berharap ianya akan dapat memberi panduan yang jelas kepada orang ramai, pihak hospital, pusat kecantikan dan juga doktor mengenai pembedahan kecantikan.

Beliau berkata terdapat banyak pusat kecantikan tidak bertauliah yang menjalankan kerja-kerja yang tidak dibenarkan termasuk pembedahan kecantikan.

"Salon kecantikan, mereka sepatutnya melakukan kerja berkaitan kecantikan dan bukannya pembedahan kecantikan, ini sesuatu yang amat berbeza," katanya.

Namun begitu, beliau berkata pusat kecantikan berada di luar bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan mengikut Akta Perubatan, kementerian hanya boleh mengeluarkan peraturan untuk menyekat dan tidak membenarkan mana-mana pihak tidak bertauliah melakukan pembedahan kecantikan.

Bagaimanapun, tindakan boleh diambil terhadap pusat kecantikan yang melakukan pembedahan tanpa tauliah.

Liow juga berkata doktor yang mahu melakukan pembedahan kecantikan akan diwajibkan menjalani kursus khas yang akan dilaksanakan kementerian dalam masa terdekat.

Beliau berkata arahan mengenai perkara itu telah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk dimaklumkan kepada semua doktor, namun tarikh pelaksanaannya masih belum ditentukan tetapi dijadualkan sebelum akhir tahun ini. -BERNAMA

Artikel Lain