suria

Serah Memorandum Tak Perlu Kepada Agong - Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong sebagai simbol negara tidak seharusnya dibabitkan dalam penyerahan sebarang memorandum apatah lagi berkaitan isu-isu berbaur politik, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata sekiranya persoalan memorandum itu membabitkan peranan khusus Seri Paduka yang termaktub dalam Perlembagaan negara seperti yang menyentuh hak keistimewaan bumiputera dan Islam, barulah ia sesuai.

"Namun, penyerahan itupun tidak perlu, kerana cukup sekadar memberikannya kepada pihak eksekutif," katanya dalam satu temubual dengan BERNAMA di sini ketika diminta mengulas sama ada wajar bagi mana-mana pihak bertindak untuk menyerahkan sesuatu memorandum berkaitan hal dan perkara yang umum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 9 Julai ini, tiga kumpulan merancang mengadakan perhimpunan haram di sini dengan alasan untuk menyerahkan satu memorandum mengenai perjalanan pilihan raya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Banyak pihak membantah perhimpunan itu kerana menganggap ia mengancam keselamatan selain menimbulkan kesulitan kepada orang ramai akibat kesesakan lalulintas.

Ratusan laporan dibuat kepada polis meminta supaya tindakan diambil terhadap penganjur.

Wan Junaidi berkata walaupun memorandum itu berkaitan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang anggotanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi berdasarkan Perlembagaan, baginda bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.

"Tambahan pula isu ini membabitkan politik, jadi cukup sekadar menghantar memorandum kepada Perdana Menteri. Ini sangat jelas," katanya.

Wan Junaidi, yang berkelulusan undang-undang, berkata berdasarkan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini, Perlembagaan menentukan peranan Sultan, Yang di-Pertuan Agong, pihak Perundangan dan pihak Eksekutif.

Wan Junaidi, yang pernah menjadi ketua pegawai pendakwa Polis Diraja Malaysia, berkata Yang di-Pertuan Agong adalah satu institusi dan tidak menguatkuasakan undang-undang yang mana peranan itu didokong oleh eksekutif.

Menurut beliau, dalam setiap fungsi Eksekutif turut mempunyai kuasa Yang di-Pertuan Agong, dan sekiranya terdapat persoalan melibatkan Perlembagaan, ia akan melihat kepada undang-undang Persekutuan, sama ada perkara itu melampaui batas, menderhaka ataupun hasutan.

"Kita mengamalkan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan di mana kebebasan bersuara dijamin di dalam Perlembagaan.

"Di bawah Perkara 10, itu kena dilihat sejauh mana seseorang itu boleh bercakap, sejauh mana ia boleh menjadi satu hasutan, atau penderhakaan dan bagaimana ia boleh mendatangkan satu masalah keselamatan dalam negara, atau menjadi derhaka kepada sultan dan raja," katanya. Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai peranan dalam pembentangan Rang Undang-undang untuk menjadi satu undang-undang yang baru selepas sudah dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akhirnya akan dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda.

Menurut tajuk "Sistem Monarki Malaysia" di laman web Perpustakaan Negara Malaysia, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Kabinet tetapi dalam pelaksanaan tiga fungsi Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara.

Tiga fungsi itu ialah melantik Perdana Menteri; bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen; dan, meminta supaya diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu.

Mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, selepas berpuashati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku dalam konteks keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam persekutuan atau negeri-negeri dalam keadaan terancam, Seri Paduka Baginda boleh mengeluarkan suatu Perisytiharan Darurat.

Artikel Lain