suria

RHB Timbang Semula Penggabungan Dengan AMMB

KUALA LUMPUR: RHB Capital Bhd mungkin mempertimbang semula potensi penggabungan dengan AMMB Holdings Bhd memandangkan ini adalah pelengkap yang lebih baik dan percantuman dua entiti yang setanding.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, OSK Research Sdn Bhd berkata penggabungan itu akan mendorong peningkatan AMMB daripada kedudukan bank keenam terbesar kepada keempat terbesar di Malaysia. Sebelum ini, CIMB Group Holdings Bhd dan Malayan Banking Bhd berkata kedua-duanya mengambil keputusan untuk tidak menggunakan peluang penggabungan dengan RHB Capital.

OSK berkata RHB Cap akan meraih manfaat daripada proses pemarkahan kredit Australia & New Zealand Banking Group (ANZ) yang kukuh seperti yang dapat dilihat daripada nisbah pinjaman susut nilai kasar AMMB yang rendah, iaitu 3.4 peratus.

"Portfolio pinjaman juga akan lebih seimbang, dengan pinjaman kadar apungan RHB Cap yang lebih tinggi menyeimbangi pinjaman kadar tetap AMMB yang lebih tinggi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, penyertaan Aabar Investment merumitkan keadaan dari segi penguasaan pegangan saham.

"Sebelum ini, desas-desus pasaran adalah tentang hasrat Abu Dhabi Commercial Bank (ADCB) menjual 24.9 peratus kepentingannya kepada ANZ.

"Ini sepatutnya membolehkan ANZ mengekalkan pegangan sahamnya dalam entiti gabungan ini pada paras melebihi 20 peratus, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja beransur-ansur mengurangkan kepentingannya dan menjadikan ANZ pemegang saham penguasaan dominan," katanya.

OSK berkata sebaliknya ADCB menjual saham-saham RHB Cap kepada Aabar dan ini bererti sebarang penggabungan antara RHB Cap dengan AMMB akan berkesudahan dengan kepentingan ANZ dalam entiti gabungan menjadi kurang daripada 20 peratus.

"Sebagai pemegang saham penguasaan besar, ANZ mungkin tidak selesa dengan pengurangan pegangan saham sedemikian selepas penggabungan itu," katanya.

OSK mengekalkan saranan 'beli'nya ke atas RHB Cap dengan nilai patut RM10.16. -BERNAMA

Artikel Lain