suria

Pertukaran Suaka Dapat Memperbaiki Imej Negara - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Cadangan pertukaran pemohon suaka antara Malaysia dan Australia diharap dapat memperbaiki imej negara yang dilabelkan sebagai negara transit bagi penyeludupan migran dan destinasi pendatang asing.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sehubungan itu, proses pelaksanaan pertukaran ini perlu ditangani secara bijak bagi memastikan tiada layanan berbeza diberikan kepada mereka.

"Kerajaan sedar bahawa Malaysia perlu sensitif dalam menangani isu ini, pada masa sama aspek yang perlu diberi perhatian adalah penempatan semula di negara-negara ketiga setelah mendapat status sebagai pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR)," katanya ketika menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) pada persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

William ingin tahu apakah kebaikan dan keburukan kepada Malaysia untuk memasuki perjanjian dengan Australia bagi program penempatan semula pelarian.

Hishammuddin berkata pelaksanaan ini dapat mengurangkan jumlah pelarian yang semakin meningkat di negara ini, dengan Australia akan menerima seramai 4,000 pelarian dari Malaysia manakala Malaysia menerima 800 orang daripada Australia.

"Walaupun bilangan yang dihantar ke negara ini tidak mencapai jumlah yang disasarkan, negara tersebut (Australia) akan tetap meneruskan komitmen untuk menerima sejumlah 4,000 pelarian yang telah pun dipersetujui," katanya.

Katanya kedua-dua negara masih dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan supaya sokongan kepada golongan suaka diberi seperti akses kemudahan pendidikan dan kesihatan mengikut amalan semasa UNCHR dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM).

"Melalui pertukaran ini, isu ancaman jenayah rentas sempadan dapat ditangani dan tiada implikasi kewangan bagi Malaysia untuk melaksanakan cadangan tersebut," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar di lobi Parlimen, Hishammuddin berkata cadangan pihak pembangkang Australia untuk menghantar anggota parti itu memeriksa tahap layanan terhadap pelarian di negara ini tidak akan memberi kesan ketara kepada hubungan dua hala. "Mereka boleh datang dan saya percaya mereka akan membantah, itu adalah tugas pembangkang. Sekadar membuat bantahan adalah satu hal tetapi perkara lain adalah apakah penyelesaiannya? Membuat bantahan semata-mata hanya untuk membantah tidak akan menyelesaikan apa-apa," kata beliau.

Jurucakap pihak pembang Australia mengenai hal imigresen, Scott Morrison berkata beliau akan melawat Malaysia minggu depan bagi membandingkan keadaan golongan pemohon suaka.

Perdana Menteri Australia Julia Gillard pada Ahad mengkritik rancangan itu, yang katanya memalukan dan akan menjejaskan hubungan negara itu dengan Malaysia.

Pihak pembangkang Australia membantah cadangan pertukaran golongan pemohon suaka oleh kerajaan kerana Malaysia tidak disokong oleh UNHCR. - BERNAMA

Artikel Lain