suria

Penganjur Perhimpunan Haram 9 Julai Ini Diingat Tidak Salah Guna Institusi Diraja:Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Pihak penganjur dan penyokong perhimpunan haram yang dianjurkan oleh kumpulan pengacau pada 9 Julai ini diingatkan supaya tidak menyalahgunakan Institusi Diraja dalam menyampaikan tuntutan mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Institusi Diraja adalah institusi tertinggi dalam negara dan ia harus dihormati oleh semua pihak.

Katanya, hasrat kumpulan berkenaan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin melalui pendekatan berdemonstrasi tanpa mendapatkan permit polis adalah sesuatu yang tidak kena pada tempatnya.

"Justeru, saya ingin menggesa penganjur dan penyokong kuat perhimpunan ini yang ingin menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong agar melakukannya secara tertib mengikut budaya dan tatasusila masyarakat Malaysia.

"Cara terbaik untuk lakukan perkara ini ialah dengan melantik wakil-wakil untuk menyembahkan memorandum itu kepada Tuanku dan bukannya melalui demonstrasi haram sebegini," katanya ketika ditemu ramah dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24.- BERNAMA

Artikel Lain