suria

Kompleks Mahkamah Dibanjiri Media, Penyokong Trio Datuk T

KUALA LUMPUR: Perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Jumaat, dibanjiri oleh pihak media ekoran tersebarnya berita bahawa Trio Datuk T yang dikatakan mendedahkan video seks mirip seorang pemimpin pembangkang akan didakwa.

Trio itu terdiri daripada ahli perniagaan, Shazryl Datuk Eskay Abdullah; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

Selain media, orang awam turut berada di mahkamah termasuk penyokong-penyokong yang membawa kertas manila yang ditulis dengan kata-kata sokongan.

Antara kata-kata semangat itu ialah 'pejuang kebenaran Datuk T = Perkasa', 'We Love Datuk T', 'Perkasa Tentang Pengkhianat Bangsa', 'Bebaskan Datuk T' dan 'Datuk T Korbankan Diri Demi Keadilan'.

Kira-kira 100 penyokong trio tersebut turut melaung-laungkan kata-kata 'Hidup Datuk T' sambil menunjukkan banner tertera 'Kita Tengok Siapa Yang Benar' dan 'Datuk T Pembongkar Kebenaran, Syabas'.

Kes tersebut telah didaftarkan di Mahkamah Majistret 3, dan pada pukul 9 pagi, beberapa anggota polis mahkamah dilihat membawa masuk dua buah televisyen LCD 42 inci ke dalam kamar mahkamah.

Galeri awam mahkamah juga dipenuhi oleh orang awam termasuk wartawan menyebabkan polis terpaksa mengarahkan mereka yang berdiri untuk keluar.

Trio Datuk T tiba di mahkamah pada pukul 9.15 pagi.

Artikel Lain