suria

GLC, GLIC Sumbang RM30 Juta Kepada Pintar, Sejahtera

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengumumkan syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) komited untuk menggandakan sumbangan kepada program Pintar dan Sejahtera sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat.

Perdana Menteri berkata, GLC dan GLIC akan menyumbangkan sekurang-kurangnya RM30 juta dalam tempoh dua tahun kepada dua program tersebut.

"Dengan cara begini, GLC dan GLIC pastinya akan memberi impak kepada rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Hari Terbuka GLC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Jumaat.

Program Pintar dan Sejahtera yang merupakan inisiatif GLC.

Pintar ialah program sekolah angkat yang menyediakan sokongan akademik dan bahan pengajaran untuk para pelajar dari luar bandar dan kawasan pedalaman.

Ia kini membabitkan 34 syarikat yang membantu 222 sekolah dan telah membantu 110,000 pelajar.

Manakala Sejahtera ialah program pembasmian kemiskinan yang memfokus kepada peningkatan kualiti kehidupan. Ia adalah langkah jangka panjang dalam mengatasi kemiskinan.

Sejak diwujudkan, Sejahtera telah membantu 4,000 keluarga miskin.

Hari Terbuka GLC yang julung kali diadakan itu bertemakan, "Membina negara, memupuk insan".

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Lain-lain tokoh korporat yang hadir termasuk Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Eksekutif, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin; Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Lembaga Tabung Haji (LTH) Datuk Paduka Ismee Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Sementara itu, Najib memberitahu, kad laporan daripada sekretariat PCG menunjukkan Program Transformasi GLC bergerak pada landasan yang betul dalam tempoh enam tahun dan enam bulan.

Mengambil contoh Program Pembangunan Vendor, beliau berkata, sebanyak 130 vendor berjaya mengikuti program tersebut.

Jelasnya, ini bermakna GLC telah memberi banyak manfaat kepada komuniti perniagaan menerusi kapasiti menjana keuntungan yang dimiliki.

"Saya menggesa perjalanan Transformasi GLC selama 10 tahun ini dilengkapkan sekali gus menyediakan satu tapak kukuh untuk mewujudkan ekonomi negara yang lebih baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib menggesa GLC dan sektor swasta mewujudkan usahasama di luar negara selain merangsangkan pertumbuhan ekonomi di peringkat domestik.

Artikel Lain