suria

Enam Kerbau Seludup Dirampas Di Chuping

PADANG BESAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas enam ekor kerbau yang dipercayai diseludup dari Thailand di sebuah kebun getah di Felda Chuping dekat sini Khamis.

Komander UPP Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman, berkata berdasarkan maklumat orang awam, anggota-anggota UPP kawasan Padang Besar membuat pemantauan di kawasan itu pada 7 malam dan mengesan tiga lelaki dipercayai rakyat Thailand sedang menarik enam kerbau itu.

Beliau berkata, setelah menyedari kehadiran pihak UPP, ketiga-tiga suspek berjaya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran kebun getah berkenaan.

Kerbau itu, yang setiap satunya bernilai RM2,500, diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

Menurut Zakaria, penyeludup mengambil kesempatan menjelang waktu Maghrib kerana beranggapan anggota UPP tidak bertugas pada waktu itu.

"Kerbau-kerbau berkenaan ditandakan dengan cat biru di tanduk seolah-olah binatang itu telah melalui proses Jabatan Verterinar," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain