suria

Dua Lelaki Nekad Terjun Bot Apabila Dihampiri APMM

KANGAR: Dua penyeludup diesel nekad terjun dari sebuah bot ketika mereka dihampiri bot ronda Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Perlis, Jumaat.

Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Maritim 1 (Satu) Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah berkata, kedua-dua lelaki itu kemudiannya mengharungi lumpur ke pinggir pantai dan menghilangkan diri dalam hutan bakau berhampiran kejadian pukul 5.30 pagi itu.

Menurutnya, APMM yang melakukan pemeriksaan ke atas bot tanpa nombor itu menemui 54 buah tong pelbagai warna yang dipercayai mengandungi 1,620 liter diesel bersubsidi di dalamnya.

Beliau berkata, sebelum itu bot ronda APMM yang melakukan rondaan di perairan Kuala Perlis mengesan pergerakan bot itu menuju perairan Thailand kira-kira 0.2 batu nautika dari pantai Kuala Perlis.

Sejak Januari lalu, APMM merekodkan 21 kes rampasan minyak yang cuba diseludup ke negara jiran termasuk sembilan kes yang ditumpaskan sejak awal bulan ini.- BERNAMA

Artikel Lain