suria

DAP Sarawak Cetus Isu Perkauman

KUALA LUMPUR: Keengganan wakil rakyat DAP Sarawak memakai pakaian seragam rasmi dan songkok semasa majlis perasmian Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berpunca kepada amalan parti itu yang suka mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan masyarakat Cina untuk menentang masyarakat majmuk di negara ini, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata pada masa lampau, DAP tidak pernah gagal mengkritik MCA kerana memakai songkok semasa istiadat perasmian mana-mana persidangan DUN, dana malahan juga Dewan Rakyat.

"DAP tidak pernah dapat memahami bahawa memakai songkok itu selaras dengan ketertiban dan rasa hormat, serta langsung tiada kaitan dengan hegemoni perkauman.

Tindakan memakai songkok tidak sepatutnya diheret menjadi perbahasan perkauman yang kini menjadi mainan DAP," katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

Beliau berkata meskipun DAP Selangor dan Pulau Pinang sudah menarik balik keengganan memakai songkok, DAP Sarawak dilihat terus berdegil enggan memakai songkok, yang bertujuan melengkapkan pakaian seragam, dan menuding jari kepada peraturan lama Speaker.

"Dalam kalangan DAP sendiri, para pemimpinnya tidak sepakat dalam sesuatu tindakan. Ketidaksepakatan ini begitu ketara antara DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) Sarawak, yang mana PKR memilih untuk memakai songkok," katanya.

Kong, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata dalam satu perkara mudah seumpamanya, DAP dan PKR sendiri tidak dapat mencapai kata sepakat, apatah lagi untuk bekerja sebagai satu pasukan dan membentuk kerajaan persekutuan.

Semasa perasmian DUN Sarawak selepas pilihan raya negeri ke-10 diadakan pada 16 April lepas, 12 wakil rakyat DAP yang baru dipilih menghadiri persidangan dewan dengan memakai sut hitam dan tidak memakai pakaian seragam dan bersongkok seperti wakil rakyat lain.

DAP Sarawak menjelaskan bahawa mereka memutuskan untuk tidak memakai pakaian seragam rasmi dan bersongkok kerana pakaian itu menelan belanja RM2,000 sepasang dan ini membazirkan wang rakyat. Pemakaian songkok pula didakwa menafikan kebebasan beragama.- BERNAMA

Artikel Lain