suria

Pendengaran Rayuan Anwar Supaya Hakim Menarik Diri Ditetapkan 6 Julai

PUTRAJAYA: Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keengganan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah supaya menarik diri daripada mendengar perbicaraan liwatnya sekarang telah ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 6 Julai.

Seorang daripada peguam Anwar, Sankara Nair berkata beliau diberitahu mengenai tarikh pendengaran itu dari pejabat pendaftar mahkamah rayuan menerusi faks semalam.

Pada 6 Jun, Zabidin menolak permohonan kali ketiga ketua pembangkang itu supaya beliau (Zabidin) menarik dari daripada mendengar perbicaraan itu, selepas memutuskan bahawa tidak terdapat merit terhadap permohonan itu.

Anwar, 63, membuat permohonan tersebut kerana mendakwa Zabidin telah membuat keputusan awal kesnya dengan menerima keterangan saksi utama pendakwaan Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai keterangan benar.

Mohd Zabidin, bagaimanapun, membenarkan permohonan Anwar supaya perbicaraan itu ditangguhkan sehingga keputusan rayuan dibuat.

Anwar didakwa meliwat Saiful, bekas pembantunya, di Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara pada 26 Jun, 2008.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebat. - BERNAMA

Artikel Lain