suria

Pelajar Lemas Tercampak Ke Dalam Parit Selepas Terbabit Kemalangan

IPOH: Seorang pelajar berusia 16 tahun terbunuh selepas tercampak ke dalam parit setelah motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Jalan Tali Ayer-Jalan Tanjung Piandang dekat Kerian malam tadi.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, mangsa Mohamad Aliff Abdul Aziz, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai lemas dan mayatnya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Kejadian berlaku pada pukul 8.45 malam ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Parit Tali Ayer apabila bertembung dengan sebuah motosikal lain lalu terbabas dan tercampak ke dalam parit di kanan jalan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdullah berkata, penunggang sebuah lagi motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Sementara itu dalam kejadian lain seorang pemandu lori terbunuh, manakala seorang pemandu kereta cedera parah selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 26 Jalan Baruh-Hutan Melintang dekat Bagan Datoh malam tadi.

Beliau berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian 10.40 malam itu, S.Selvalingam 45 berasal dari Sungai Tiang Baroh.

Pemandu kereta Goh Eng Chong, 40, berasal dari Lorong Kayangan, Hutan Melintang mengalami cedera parah di kepala dan badan dirawat di hospital Teluk Intan. - BERNAMA

Artikel Lain