suria

Muhyiddin Puji Kejayaan Projek TKPM Hulu Yam

HULU SELANGOR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis memuji projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Hulu Yam di sini, yang beroleh kejayaan memberangsangkan.

Muhyiddin berkata TKPM sekarang telah jauh berkembang maju berbanding lawatan terakhirnya ke sana ketika menjawat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dahulu.

"Saya mendapat tahu bahawa TKPM ini berjaya menghasilkan penanaman sayuran yang memberangsangkan dengan menghasilkan sayur antara 40 hingga 50 metrik tan sehari.

"Selain itu, TKPM turut memperoleh sijil pengiktirafan SALAM iaitu sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia daripada Jabatan Pertanian, mempunyai kemudahan simpanan sayur-sayuran dan pembungkusan yang lebih kemas," katanya kepada pemberita selepas melawat TKPM itu.

Muhyiddin berkata apa yang penting ialah pengurusan kos penanaman sayur perlu berpatutan dan rendah bagi menjamin pendapatan tinggi untuk setiap pengusaha penanaman sayur di TKPM. Beliau mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi-agensi di bawahnya memberi bantuan daripada segi infrastruktur, penyediaan teknologi, pemberian bantuan modal dan sebagainya.

Kerajaan mahu TKPM Hulu Yam terus kekal menjadi pengeluar sayur-sayuran terbesar dan terkemuka di Malaysia, kata Muhyiddin.

"Saya masih ingat lagi ketika menjawat Menteri Pertanian (dan Industri Asas Tani) dahulu, tapak TKPM ini menjadi isu. Perdana Menteri ketika itu telefon saya dan memberitahu saya mengenai penduduk di Hulu Yam sudah membuat aduan, akibat bimbang kerajaan negeri mungkin mengambil semula kawasan penanaman sayur ini untuk projek pembangunan lain.

"Jadi saya telefon Menteri Besar Selangor ketika itu (Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo), waktu zaman Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor... saya beritahu Mohamad Khir, ini arahan Perdana Menteri, jangan ambil tanah tersebut, pastikan ia kekal sebagai tanah pertanian untuk penanaman sayur-sayuran," katanya.

Muhyiddin berharap kerajaan negeri Selangor yang dipimpin pembangkang sekarang tidak menimbulkan masalah dengan mengambil tanah di TKPM, Hulu Yam dan membuat projek pembangunan lain.

"Sekiranya berlaku, ia akan memberi masalah kepada pengusaha tanaman sayur kelak dan seterusnya bekalan sayur-sayuran akan terjejas. Kita harap perkara itu tidak berlaku," katanya.

Terdahulu, ketibaan Muhyiddin di TKPM pada pukul 8.30 pagi disambut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan.

Selepas melakukan tinjauan ke tapak penanaman sayur di TKPM kira-kira 45 minit, Muhyiddin mendengar taklimat daripada Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan TKPM, Wan Zali Nordin mengenai TKPM.

Pada sesi taklimat itu, Wan Zali yang mewakili kesemua para pengusaha penanaman sayur di TKPM mengutarakan beberapa masalah dihadapi mereka antaranya seperti masalah bekalan minyak diesel untuk jentera, masalah pengangkutan dan pembabitan "orang tengah" dalam urusan pemasaran.

Menurut Wan Zali, buat masa ini hanya 20 peratus sahaja hasil penanaman sayur dapat dibekalkan terus kepada pasar raya besar seperi Carrefour dan Giant dan selebihnya melibatkan orang tengah yang tidak memberi keuntungan kepada pengusaha sayur-sayuran. Selain pasar raya, para pengusaha juga menjual secara terus di Pasar Tani dengan bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), katanya.

Beliau berharap kerajaan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Permodalan Nasional Selangor Bhd (PNSB) dapat mengambil perhatian terhadap masalah itu dan turut memberi bantuan daripada segi teknologi bagi meningkatkan hasil tanaman sayuran.

Mengenai masalah yang dibangkitkan oleh Wan Zali, Muhyiddin meminta Noh mengambil tindakan mengatasi masalah yang dikemukakan dan mengemukakan laporan kepadanya mengenai bentuk bantuan yang diperlukan pengusaha penanaman sayur di TKPM itu. - BERNAMA

Artikel Lain