suria

KDN Diminta Kenakan Kadar Berpatutan Untuk Daftar Pekerja Asing - Muhyiddin

GEMAS: Kementerian Dalam Negeri diminta meneliti kadar yang sesuai dikenakan bagi proses pendaftaran secara sah pekerja asing di negara ini sebelum program pengampunan dan pemutihan pendatang tanpa izin dilaksanakan mulai 11 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kadar ini perlu ditetapkan kerana kerajaan tidak boleh membiarkan syarikat-syarikat yang dilantik untuk menguruskan proses pendaftaran ini menentukan sendiri kadar itu kerana ia boleh menimbulkan perbezaan pada jumlah yang dikenakan oleh antara syarikat berlainan.

"Ini belum lagi diselesaikan, saya percaya sebelum dilaksanakan program ini, ia akan diumumkan...bermakna majikan atau pihak yang terlibat akan tahu berapa kadar yang sebenar boleh dibayar, untuk membolehkan proses ini dilaksanakan. Sepatutnya tidaklah tinggi, kerana ia bukan melibatkan membawa masuk pekerja asing di luar negara," katanya pada sidang akhbar selepas melawat ladang Pusat Fidlot Nasional (NFC) di sini Khamis.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Muhyiddin berkata soal bagi mendaftar pekerja asing dalam proses pengampunan ini, boleh dibuat dalam dua kaedah iaitu majikan sendiri boleh mendaftar pekerja mereka di Jabatan Imigresen ataupun menerusi syarikat-syarikat yang akan dilantik untuk menguruskan proses pendaftaran itu.

Semalam, kerajaan memutuskan mulai 11 Julai ini, program pengampunan dan pemutihan pendatang tanpa izin akan dilaksanakan bagi memperkemaskan rekod.

Program 6P iaitu pendaftaran, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran itu akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga hujung tahun ini.

Mengenai lawatannya hari ini, Muhyiddin berkata langkah yang dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ialah untuk membantu meningkatkan pengeluaran daging dalam negara. Katanya keperluan daging dalam negara ini sudah ada peningkatan iaitu kepada 26 peratus pada masa ini.

"Operasi NFC ini adalah satu-satunya usaha kita memberi sokongan sebagai satu kegiatan pengeluaran daging yang penting untuk negara kita. Dalam sistem fidlot, lembu dibawa masuk di ladang ini untuk digemukkan dalam tempoh beberapa bulan sebelum disembelih untuk pasaran," katanya.

Muhyiddin, yang sebelum itu melawat kawasan tanaman sayur-sayuran di Ulu Yam, Selangor, berkata pengeluaran bahan sayur-sayuran didapati meningkat.

"Saya telah berbincang dengan pengusaha sayur-sayuran supaya berusaha lebih gigih lagi untuk meningkatkan hasil pengeluaran. Mereka memaklumkan kepada saya bahawa mereka telah mendapat pasaran, cuma masalahnya ialah kos pengeluarannya sudah meningkat seperti baja, racun serangga, minyak dan lain-lain.

"Oleh itu, kita akan cuba membantu mereka supaya rakyat dapat bekalan sayur yang mencukupi dengan harga yang berpatutan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain