suria

Terengganu Hantar 12 Lagi Guru Ke AS

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan menghantar seramai 12 orang lagi pegawai pendidikan, guru dan pengetua sekolah berasrama penuh ke Amerika Syarikat untuk menjalani kursus dalam usaha meningkatkan prestasi pelajar anak Terengganu dalam menghadapi peperiksaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata mereka ini merupakan kumpulan keempat untuk menjalani kursus di Connecticut University of America selama enam hari mulai 10 Julai bagi mendalami teknik pembelajaran terbaik untuk pelajar.

Setakat ini seramai 72 orang guru dan pegawai pendidikan dari negeri ini dihantar untuk mengikuti kursus di Amerika Syarikat dan apabila mereka tamat kursus, mereka akan menjadi pelatih kepada guru-guru lain pula, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau berkata, program penghantaran guru dan pegawai pendidikan ke negara itu merupakan usaha penambahbaikan kerajaan negeri ke arah mencapai wawasan kerajaan Terengganu untuk menjadikan negeri ini anjung ilmu.

Ahmad turut melahirkan rasa syukur kerana dalam ujian percubaan peringkat kedua Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), menunjukkan sedikit peningkatan pencapaian berbanding tahun lepas.

"Kita harap semasa ujian percubaan di peringkat ketiga UPSR nanti, ia menunjukkan peningkatan yang membolehkan pelajar Terengganu mencapai sasaran untuk memperoleh keputusan tempat pertama peringkat kebangsaan setiap tahun," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain