suria

Selangor Fail Saman Balas Terhadap Alam Flora

SHAH ALAM: Selangor akan memfailkan saman balas terhadap syarikat pelupusan sisa pepejal, Alam Flora ekoran tindakan syarikat itu memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan negeri meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil alih kerja-kerja pembersihan di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri berpendapat tindakan Alam Flora itu berniat jahat serta sengaja mahu menggagalkan usaha-usaha kerajaan negeri dan PBT dalam meningkatkan usaha serta mutu perkhidmatan yang lebih baik.

“Kami sedang mempertimbangkan usaha untuk memfailkan saman balas terhadap Alam Flora. Kerajaan Negeri telah mendapat nasihat guaman dan Alam Flora tidak mempunyai alasan untuk mendapatkan semakan kehakiman tersebut.

“Kita akan melaksanakan langkah-langkah yang perlu bagi mengetepikan permohoan yang akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak lama lagi serta membatalkan perintah penangguhan pelaksanaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Excco Kerajaan Negeri di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Alam Flora telah memfailkan semakan kehakiman terhadap kerajaan negeri dan semua PBT di Selangor bagi mencabar keputusan yang meminta semua PBT mengambil alih kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh Alam Flora.

Dalam semakan kehakiman tersebut, Alam Flora telah mendapat perintah mahkamah untuk menghalang kerajaan negeri dan PBT daripada meneruskan proses tender bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di negeri itu.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri telah melantik pasukan peguam terdiri daripada Tetuan Fernandez & Selvarajah bagi mewakili kerajaan negeri dan Datuk Dr Cyrus dari Tetuan Shook Lin & Bok mewakili kesemua PBT.

“Kerajaan negeri komited untuk memberi perkhidmatan yang telus, adil dan bertanggungjawab dengan memberi keutamaan kepada pembayar cukai,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain