suria

MBM Kumpul Sejuta Tandatangan Belia Bantah Perhimpunan Haram

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) bercadang mengumpul sejuta tandatangan daripada kalangan belia bagi membantah rancangan mengadakan perhimpunan haram oleh kumpulan pengacau di ibu negara, Sabah dan Sarawak pada 9 Julai ini.

Presidennya Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata tandatangan itu akan dikemukakan kepada pihak penganjur perhimpunan terbabit bagi membuktikan perhimpunan itu bertentangan dengan kehendak masyarakat.

"Kita akan kumpulkan tandatangan ini serta-merta. MBM mewakili lebih 3.9 juta belia yang berdaftar di bawah lebih 7,000 pertubuhan belia seluruh negara. Tandatangan itu kemudian akan diserahkan kepada penganjur (perhimpunan) sebelum tarikh perhimpunan, bagi menggesa perhimpunan itu dibatalkan.

"Semalam, pihak kami juga telah menghantar surat rasmi kepada Datuk Ambiga Sreenevasan (penganjur perhimpunan) bagi menyatakan pandangan kami," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini Rabu.

Beliau berkata selain mengumpul tandatangan, pihaknya juga akan mendapatkan maklum balas penduduk serta pemilik premis di sekitar lokasi perhimpunan terbabit.

"Pemerhatian MBM selama ini mendapati sebarang perhimpunan dan demonstrasi jalanan jarang sekali dapat diadakan secara aman, berhemah dan teratur. Malah ia amat menyusahkan banyak pihak seperti kerosakan harta benda, kerugian perniagaan, ketakutan kepada pelancong serta kesesakan trafik yang amat teruk.

"Sebab itu kita mahukan pendapat masyarakat sebelum dan selepas perhimpunan ini (berlangsung)... pendapat ini akan diguna pakai supaya kita sama-sama boleh melihat kesan daripada perhimpunan ini," katanya.

Mohamed Maliki juga mendesak polis agar mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap sesiapa juga yang menyertai perhimpunan haram itu, termasuk jika daripada kalangan anggota MBM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain