suria

Kastam Tahan Wanita Indonesia Dengan Syabu RM1.4 Juta

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menahan seorang wanita warga Indonesia dan merampas 5.788 kilogram dadah jenis Syabu bernilai RM1.4 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini awal pagi Selasa.

Pengarahnya Datuk Zulkifli Yahya berkata wanita berusia 40-an itu ditahan pada pukul 2.15 pagi di LTAPP sejurus tiba dari bandar Ho Chin Minh, Vietnam.

Katanya, dadah itu dikesan disembunyikan dalam beg pakaian wanita itu ketika Pegawai Kastam Unit Khas Pemeriksaan Penumpang membuat imbasan dan mendapati terdapat imej yang mencurigakan.

"Pegawai Kastam yang menjalankan pemeriksaan rapi ke atas dua beg wanita itu menjumpai empat bungkusan lutsinar mengandungi hablur kristal berwarna putih dipercayai dadah jenis syabu," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Setiap satu beg itu mempunyai dua bungkusan dadah yang disembunyikan dalam satu ruang khas.

Zulkifli berkata siasatan awal mendapati wanita itu memulakan perjalanan dari Indonesia pada 17 Jun lepas dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke bandar Ho Chin Minh dan kembali semula ke KLIA sebelum ke Pulau Pinang.

"Wanita berkenaan melalui perjalanan selama lima hari dan merentasi tiga negara sebelum sampai ke Pulau Pinang ," katanya.

Katanya pihaknya juga tidak menolak kemungkinan syabu yang dibawa wanita itu adalah untuk pasaran antarabangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau berkata wanita berkenaan kini direman 13 hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain