suria

JAS Selangor Keluarkan 24 Notis Saman Kerana Pembakaran Terbuka

SHAH ALAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor membuka sembilan kertas pertuduhan terhadap kesalahan pembakaran terbuka yang menyebabkan keadaan berjerebu di sekitar daerah Klang berdekatan Lebuhraya Kesas.

Pengarah JAS Selangor, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, hasil siasatan JAS mendapati keadaan berjerebu itu menjurus kepada tiga lokasi utama pembakaran.

Pembakaran dikesan di tanah milik Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) yang disewakan kepada sebuah syarikat, di tapak pembinaan perumahan fasa 4A Bandar Puteri dan di kawasan pertanian tanah gambut Revolusi Hijau Kampung Johan Setia.

Che Asmah berkata, kawasan milik Mardi dan pembinaan Bandar Puteri hanyalah lebih kurang 30 meter daripada Lebuhraya Kesas.

Beliau menambah, JAS bertindak setelah mendapat aduan daripada orang ramai mengenai pencemaran udara dan keadaan berjerebu di sekitar Johan Setia, Jalan Kebun, Bandar Parklands, Bandar Bukit Tinggi, Taman Sentosa, Bandar Puteri, Taman Botanik dan Kota Kemuning.

"Daripada sembilan kertas pertuduhan, JAS telah membuka tujuh kertas pertuduhan terhadap kesalahan pembakaran terbuka di kawasan Revolus Hijau di Johan Setia, satu kertas pertuduhan bagi projek pembangunan Bandar Puteri dan satu lagi kertas pertuduhan bagi kawasan milik Mardi," katanya.

Beliau berkata, JAS telah mengenal pasti pemilik tanah di tiga-tiga lokasi itu dan tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Che Asmah juga berkata sebanyak 24 kompaun maksimum berjumlah RM2,000 setiap satu telah dikeluarkan ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka di Selangor setakat ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain