suria

Gangguan Seksual: Laporan Polis Akan Dibuat - Ng Yen Yen

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan akan membuat laporan polis berhubung gangguan seksual terhadap seorang pemandu pelancong wanita yang didakwa dilakukan rakan sekerjanya.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata laporan itu akan dibuat jika pemandu pelancong terbabit memberi persetujuan kepada kementerian dalam tempoh 24 jam, mulai Rabu.

"Bagaimanapun, sekiranya dia enggan membuat laporan polis, kementerian minta agar dia mengemukakan surat sebagai bukti hitam putih (kenapa enggan membuat laporan polis)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama agensi pelancongan Malaysia, Selasa.

Beliau berkata kementerian tidak mempunyai kuasa bagi menyelesaikan kejadian gangguan seksual itu kerana ia di bawah bidang kuasa polis.

Ng mengulas dakwaan insiden gangguan seksual terhadap seorang pemandu pelancong wanita baru-baru ini selepas mangsa berkongsi bilik dengan pemandu bas lelaki ketika bertugas. Sementara itu, beliau berkata kementerian menubuhkan satu pasukan khas bagi mencari langkah terbaik untuk memastikan semua agensi pelancongan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan, terutama dalam isu perkongsian bilik oleh petugas berlainan jantina.

"Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan Dr Junaida Lee Abdullah akan mengetuai pasukan ini, dan beberapa wakil dari pelbagai agensi pelancongan, termasuk dua wakil Persatuan Pemandu Pelancongan Wanita Malaysia (MWTGA)," katanya.

Selain itu, Dr Ng berkata kementerian turut mewajibkan semua agensi pelancongan di negara ini mengikuti program latihan berterusan pemandu pelancong bagi memastikan peraturan yang ditetapkan dipatuhi.

Katanya, bagi pemandu pelancong baru berdaftar, mereka bakal mengikuti latihan selama dua hari, manakala yang memperbaharui lesen, akan menjalani latihan sehari. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain