suria

Empat Suspek Dalam Sembilan Kes Samun Dan Ragut Di Subang Ditahan

SUBANG JAYA: Polis menyelesaikan lima kes samun dan empat ragut yang berlaku di sekitar Subang dalam tempoh sebulan ini dengan tertangkapnya empat lelaki.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid berkata suspek pertama ditahan Khamis lepas setelah dia bersama seorang lagi rakannya cuba meragut beg tangan seorang wanita di Jalan SS 14/1 di sini.

"Ketika itu mangsa yang berumur 25 tahun mahu memasuki keretanya di hadapan rumahnya sebelum suspek dan rakannya yang menaiki motosikal cuba meragutnya dari arah belakang menyebabkan mangsa terjatuh.

"Bagaimanapun beg tangan mangsa tersebut gagal dilarikan kerana mangsa memegang kuat pada beg tangannya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya pada Selasa.

Beliau berkata suami mangsa yang ketika itu sudah berada di dalam kereta berkenaan bertindak mengejar suspek dengan dibantu oleh orang ramai dan mereka berjaya menangkap suspek yang berumur 19 tahun dan merupakan pelajar kolej di Kuala Selangor.

"Rakan suspek berjaya melarikan diri tetapi polis kemudiannya menyerbu rumahnya, namun dia tetap dapat dapat melarikan diri. "Namun motosikal yang digunakan di dalam kes itu telah dirampas di rumah terbabit," kata Zainal.

Tangkapan kedua pula berjaya dilakukan dengan kecekapan polis peronda yang ketika itu sedang meronda di kawasan SS 15/5E kira-kira pukul 7 pagi semalam yang telah ternampak satu kejadian ragut oleh dua lelaki yang menaiki motosikal terhadap seorang wanita berumur 70 tahun.

"Mangsa ketika itu sedang berjalan kaki sebelum didatangi dua lelaki dari arah belakang. Pemboncengnya turun dan terus mengacu parang ke leher mangsa dan cuba meragut rantai emas yang di pakai mangsa," katanya.

Zainal berkata polis yang membuat rondaan terus mengejar dan berjaya menangkap seorang darinya dan merampas sebilah parang namun sebelum itu berlaku pergelutan menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan di jari tangan kanan.

Suspek yang ditahan berumur 26 tahun dan pemerikasan awal mendapati dia dikehendaki dalam satu kes samun di Negeri Sembilan serta turut positif dadah.

Polis masih mengesan suspek kedua.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka turut terlibat dalam satu lagi kes samun ke atas seorang lelaki berumur 60 tahun di Jalan SS 15 15 minit sebelum itu.

"Namun dalam kes pertama, mereka hanya memperolehi sebanyak RM1.20," katanya.

Zainal berkata tangkapan ketiga juga dilakukan semalam iaitu kira-kira pukul 2.30 petang apabila seorang wanita yang sedang berjalan ke arah keretanya yang diletakkan di tepi jalan di PJS 7/19, Bandar Sunway telah diragut dua lelaki yang menaiki motosikal, yang datang dari arah belakang.

"Selepas itu suspek telah melarikan diri dan mangsa kerugian kad pengenalan, kad ATM, kad kredit, telefon bimbit serta wang RM50," katanya. Namun 25 minit kemudiannya hasil dari maklumat mangsa, kedua-dua suspek yang berumur 20 dan 22 tahun berjaya diberkas ketika sedang makan cendol di Jalan PJS 6/1, Sungai Way.

"Setelah pemeriksaan dibuat polis telah menemui semula semua barang milik mangsa," kata Zainal.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah menyampaikan sijil penghargaan kepada lima anggota polis yang berjaya memberkas suspek dalam tiga kes tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain