suria

Wartawan, Blogger Digesa Lapor Berita Seimbang, Adil Dan Telus

TAWAU: Wartawan dan pengamal media seperti blogger digesa sentiasa bertanggungjawab dengan melaporkan berita secara seimbang, benar, adil dan telus.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata fokus laporan seharusnya menjurus kepada agenda pembentukan minda rakyat yang positif supaya mereka terus bersatu padu bagi membangunkan negara.

"Bantu kerajaan bentuk fikiran positif masyarakat. Rakyat perlu selalu diingatkan supaya tidak menjadikan perbezaan kaum, agama dan kepercayaan sebagai penghalang bagi rakyat terus bersatu padu," katanya ketika menerima kunjungan hormat anggota Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (Pewarta) pada Selasa.

Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas berkata pengamal media perlu berpegang kepada etika kewartawanan dan melaporkan maklumat sahih atau disahkan kebenarannya.

Beliau berkata mereka tidak sepatutnya menyiarkan perkara berbau provokasi kerana ia mampu menjejaskan perpaduan.

"Jangan bantu orang buat provokasi. Jangan sebar berita berunsur provokasi kerana ia akan mengundang provokasi lain. Buat laporan bukan untuk sensasi, tetapi menyebarkan maklumat untuk melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu dan cemerlang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain