suria

Polis Tahan Tiga Lelaki, Rampas Dadah Bernilai RM10,000

MELAKA: Polis menahan tiga lelaki dan merampas sepucuk revolver serta dadah bernilai kira-kira RM10,000 di sebuah rumah di Km 20 Kampung Paya Redan dekat sini tengah malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Sallehhudin Abd Razak berkata lelaki berkenaan berusia antara 24 dan 28 tahun ditahan kira-kira 12.30 malam.

"Polis merampas sebuah beg yang didalamnya terdapat sepucuk revolver jenis Black Guardian Eastern Patent yang berisi tiga kelongsong peluru dan tiga kotak berisi 18 butir peluru," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata polis turut menemui empat paket plastik disyaki berisi heroin, satu paket plastik disyaki syabu serta enam pil Eramin 5.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota polis diketuai Sarjan Mejar Hassan Asmat dari Balai Polis Tiang Dua berikutan maklumat orang awam mengenai sebuah motosikal yang disyaki dicuri kelihatan di rumah tersebut.

Motosikal tersebut dilaporkan hilang di kawasan Bukit Baru tahun lepas.

Sallehhudin berkata polis yang menjalankan ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif methamphetamine.

Ketiga-tiga suspek akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kes mencuri motosikal yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda, katanya.

Beliau berkata berkata bagi kes memiliki senjata api, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (penalti lebih berat) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan rotan tidak kurang enam sebatan.

Manakala bagi kes narkotik, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain