suria

Kerajaan Tidak Daftar Pendatang Asing Sebagai Pengundi

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mendaftarkan pendatang asing sebagai pengundi dengan menggunakan kad pengenalan rakyat tempatan seperti yang didakwa oleh media.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, perkara tersebut tidak pernah berlaku kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai mekanisme tersendiri untuk menentukan kelayakan permohonan pengundi.

“Ketika ini sistem yang diguna pakai oleh SPRuntuk proses pendaftaran pemilih melalui Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) .

“Melalui sistem ini kad pengenalan pemohon akan dihubung kait dengan 'Agency Link-Up System' (ALIS) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-Pulai).

Nur Jazlan dalam soalannya meminta kepastian sama ada benar terdapat warga Bangladesh yang cuba didaftar sebagai pengundi oleh ejen parti dan sekiranya ada, bentuk tindakan yang diambil kerajaan untuk menghukum pihak berkenaan.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Mohamed Nazri (BN- Padang Rengas) berkata melalui sistem yang digunakan itu, SPR dapat membuat pemeriksaan kesahihan kelayakan pemilih daripada segi kewarganegaraan, sama ada telah meninggal dunia, alamat tetap serta berumur 21 tahun ke atas sebelum meluluskan permohonan mereka sebagai mengundi pada pilihan raya.

Jelasnya, ALIS merupakan sistem dalam talian yang telah diguna pakai oleh semua pejabat SPR negeri dan JPN sejak 2003.

Mohamed Nazri berkata, sebarang siasatan berhubung daftar pemilih hanya boleh dijalankan sekiranya aduan rasmi dilaporkan kepada SPR.

Beliau berkata (JPM) tidak boleh bertindak sekiranya laporan atau aduan mengenai perkara itu hanya dibangkit dan dipersoalkan di tempat terbuka tanpa mengikut prosedur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain