suria

Kementerian Pelancongan Pelawa SPRM Siasat Perbelanjaan Kempennya

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat peruntukan RM1.8 juta kementerian itu bagi kempen promosi dan penjenamaan menerusi media sosial.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen hari ini berkata Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Ong Hong Peng, atas arahan beliau, menghubungi SPRM semalam untuk mempelawanya menjalankan siasatan ke atas perbelanjaan kempen itu.

"Sila datang dan periksa. Tiada apa yang nak disembunyikan. Kami benar-benar telus. Bagi pihak kami, kami sentiasa lurus," katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku bergambar bertajuk "Pullman Putrajaya Lakeside: The Jewel in the Crown of Putrajaya".

Dr Ng berkata beliau kecewa dan terluka dengan dakwaan yang dilemparkan terhadap peruntukan RM1.8 juta itu di mana pembangkang dilihat cuba menyakinkan orang ramai bahawa ia semata-mata digunakan bagi mewujudkan satu Facebook.

Katanya peruntukan itu bagi menjalankan, menguruskan dan memantau kempen pelancongan dalam media sosial, termasuk RM360,000 bagi pengiklanan dan lebih RM500,000 bagi hadiah-hadiah untuk pertandingan yang dianjurkan.

Dr Ng berkata beliau komited untuk mempelbagaikan saluran bagi promosi pelancongan daripada hanya bergantung pada media tradisional iaitu media cetak dan elektronik.

"Terdapat 700 juta orang aktif dalam media sosial, dan jika anda tidak percaya bahawa media sosial boleh meningkatkan pemasaran dengan itu anda tidak tergolong dalam masyarakat masa kini," katanya.

Mengenai perhimpunan haram yang bakal dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai, Dr Ng berkata perhimpunan itu tidak perlu dan akan memberikan tanggapan negatif terhadap Malaysia dan akan menjejaskan sektor pelancongan.

"Saya harap semua warganegara yang adil, penyayang dan bertanggungjawab akan berusaha memulihara keamanan Malaysia.

Setiap rakyat Malaysia perlu sama-sama memastikan keamanan dan keharmonian kita tidak diganggu-gugat oleh orang yang tamak dan mementingkan diri sendiri," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain