suria

Buku Tentang Sejarah Pembinaan Tambak Johor Akan Dilancar - Rais

SINGAPURA: Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Singapura telah menyiapkan sebuah buku yang menyingkap sejarah pembinaan Tambak Johor yang akan dilancarkan tidak lama lagi, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berharap buku tersebut dapat dilancarkan oleh kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Singapura, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Lee Hsien Loong.

"Buku ini mengisi tuntutan sejarah dan hubungan sosioekonomi di dalam negeri-negeri Selat iaitu Singapura, Melaka dan Pulau Pinang dengan Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu," katanya kepada Bernama dan RTM di sini.

Rais berkata buku tersebut menyingkap peristiwa bersejarah bagaimana pemerintahan Inggeris membina Tambak Johor sepanjang lebih satu kilometer dengan menggunakan pekerja Melayu, Cina dan India.

"Ia juga akan menyingkap asal usul dan kenapa Tambak Johor dibina. Ia bukan sahaja berkisar pada fakta sejarah di sebalik pembinaannya, tetapi ia juga merupakan satu tuntutan persahabatan serantau," katanya.

Beliau yang berada di Singapura bagi menghadiri Forum Menteri-Menteri Asia Mengenai Teknologi Informasi dan Komunikasi 2011 (CommunicAsia) mulai semalam, turut berunding dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Yaacob Ibrahim tentang pelancaran buku itu.

"Saya berunding dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura Dr Yaacob Ibrahim dan jika dapat syorkan tarikh (pelancaran buku) itu di dalam tempoh terdekat," katanya.

Forum yang dihadiri oleh wakil-wakil daripada 50 buah negara dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain