suria

Perjuangan Negara Kebajikan PAS Mudahkan BN

KUALA TERENGGANU: Perjuangan Barisan Nasional dan Umno untuk rakyat kini lebih mudah berikutan pendirian PAS memperjuangkan sebuah negara berkebajikan berbanding matlamat perjuangan dahulu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, suatu ketika dahulu PAS kata mereka hendak wujudkan sebuah negara Islam berlandaskan Al-Quran dan Hadis.

"Walaupun berkawan dengan DAP sekalipun, mewujudkan sebuah negara Islam adalah tetap menjadi matlamat akhir perjuangan PAS, namun kini matlamat mereka sudah berubah dan ingin mewujudkan negara berkebajikan pula.

"Dulu orang sanggup mati, sanggup derma harta benda, duit, barang kemas untuk nak menegakkan negara Islam seperti yang dijanjikan...tetapi sekarang tidak ada lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan lebih 1,000 ketua cawangan Umno seluruh Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini, Ahad.

Ahmad berkata, dulu PAS ditadbir oleh ulama, tetapi sekarang tinggal beberapa orang sahaja ulama dan berlatar belakang agama di dalam pentadbiran parti itu.

Katanya, ini jelas membuktikan perjuangan mereka selama ini adalah hipokrit.

"Kita nak tahu, sekarang apakah negara kebajikan itu yang Umno belum buat. Kalau ada yang Umno belum buat, tolong beritahu," katanya.

Sementara itu Ahmad berkata, beliau menaruh keyakinan penuh terhadap ketua cawangan Umno negeri itu kerana merekalah lebih tahu perasaan dan hati budi pengundi di kawasan masing-masing.

Ahmad berkata, beliau berharap semua ketua cawangan dapat bergerak seiringan dengan apa yang diatur pucuk pimpinan.

"Sebenarnya banyak program telah diatur selama ini. Hari ini cuma nak memperkemas jentera saja agar mereka dapat memberi komitmen kepada perjuangan agar dapat memberikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke 13 nanti," katanya. BERNAMA

Artikel Lain