suria

Tindakan Kerajaan PAS Kelantan Haramkan Utusan Malaysia Mencerminkan Sikap Buruk Pembangkang

KUALA KLAWANG: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tindakan kerajaan Pas Kelantan mengharamkan Utusan Malaysia membuat liputan pada majlis rasminya mencerminkan tindakan dan sikap buruk pembangkang seluruhnya.

Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu berkata ini perkara itu sudah lama berlaku terutama apabila mereka terasa bahawa liputan bagi kepentingan Pas tidak mengikut saluran dan petak pemikiran mereka, maka mereka mengambil tindakan sewenang-wenang seperti itu.

"Semuanya hendaklah mengikut aluran dan fikiran mereka. Tapi, bagi kita tidak, kita lebih liberal dan kita kalau dikritik atau tidak sama dengan pandangan kita, maka kita kata tak mengapa. Sebenarnya rakyat tahu apa yang kita buat. Tetapi bagi Pas tidak buat begitu, terus mengambil tindakan yang begitu mendadak.

"Ini adalah satu cerminan yang harus diadili oleh masyarakat pada masa depan. Kalau begitu mereka bertindak, apabila jadi 'berkuasa' nanti maka lebih lagi cara-cara sombong mereka.

"Ini mencerminkan sikap yang harus kita ambil timbangan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian persidangan perwakilan Umno Bahagian Jelebu 2011 oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan Kelantan semalam mengharamkan akhbar Utusan Malaysia daripada membuat liputan acara yang melibatkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan kerajaan pimpinan PAS itu sebagai respons kepada penyiaran karikatur yang disifatkan mereka menghina agama Islam berhubung isu rogol dan zina oleh akhbar terbabit.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Musa yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno mengingatkan semua anggota Umno supaya jangan sesekali menjadi "api dalam serkam, gunting dalam lipatan, duri dalam daging atau lempar batu sembunyi tangan".

"Ini kerana ini boleh merosakkan parti. Dalam perjuangan kita mesti telus, ertinya kita mesti mahu ikhlas dan ikhlas kita adalah kepada pemimpin, rakan dan juga rakyat. Di masa yang sama jangan ada perpecahan. Saya mengingatkan ini kepada semua anggota Umno untuk memastikan supaya kita terus berada dalam keadaan bersatu padu dan bekerjasama.

"Dalam keadaan itu, sudah tentu parti kita akan berada dalam keadaan yang kuat. Apabila parti kita kuat maka politiknya stabil dan bila politiknya stabil, ekonominya akan kukuh, jadi ini yang kita perlukan untuk memastikan perjuangan kita itu berterusan demi membela nasib bangsa, agama dan negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain