suria

Tiada Sekolah Agama Di Negara Ini Rekrut Pelajar Sertai JI:Jamil Khir

YAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tiada sekolah agama atau maahad swasta di negara ini secara langsung merekrut pelajar untuk menyertai kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).

Beliau berkata sebenarnya yang berlaku ialah kumpulan berfahaman ekstrem dan berasaskan ideologi pemimpin militan seperti JI sentiasa bergerak untuk menyerap masuk ke dalam sekolah-sekolah ini.

"Kita pasti dari maklumat yang diterima aktiviti ini berlaku bukan atas nama sekolah atau maahad tetapi memang wujud orang atau kumpulan yang berusaha meresap masuk mempengaruhi pelajar.

"Kumpulan ini sering menggunakan agama bagi merealisasikan matlamat mereka dan sebab itu Islam dikaitkan dengan keganasan," katanya kepada pemberita di sini Ahad semasa diminta mengulas laporan akhbar mengenai sebuah maahad swasta di Malaysia yang dikesan cuba merekrut belia menyertai kumpulan militan.

Beliau yang ditemui selepas menyerahkan cek bantuan RM205,000 kepada Sekolah Menengah Agama Saadah Al Islamiah di Kampung Sungai Limau Dalam di sini Ahad berkata polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri sentiasa memantau kegiatan JI dan kumpulan militan lain yang cuba meresap masuk menyebarkan fahaman ekstremis mereka ke maahad di negara ini.

Pihak-pihak ini sentiasa bertukar maklumat dan sebarang perkembangan aktiviti mereka sentiasa diketahui untuk diambil tindakan membanterasnya, katanya.

Jamil Khir berkata modus operandi kumpulan ini tidak banyak beza kerana menggunakan agama dengan menumpu kepada sekolah agama bagi menarik golongan muda.

"Yang menjadi masalahnya Barat menyalahtafsir terhadap Islam kerana pembawaan kumpulan-kumpulan ekstremis bersifat keganasan dan menghalalkan pembunuhan yang bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad S.A.W," katanya.

Mengenai bantuan kepada sekolah agama swasta itu, Jamil Khir berkata ia adalah untuk baki bayaran kepada kontraktor yang membina bangunan tambahan tiga tingkat berharga RM500,000 yang siap 10 tahun lepas.

"Saya membawa masalah sekolah ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang kemudiannya meluluskan peruntukan bagi melangsaikan hutang agar bangunan yang siap itu dapat digunakan.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kontraktor yang membina bangunan ini yang hanya menuntut baki bayaran tanpa mengenakan faedah walaupun menjangkau 10 tahun," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain