suria

Tiada Pilih Kasih, Monopoli Kuasa Dalam Kerajaan:Shafie

NIBONG TEBAL: Kerajaan tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih, memonopoli kuasa dan kejam terhadap rakyat sebagaimana yang didakwa oleh parti pembangkang, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah menjelaskan kerajaan pusat sentiasa memikirkan keperluan dan kepentingan rakyat dalam setiap projek pembangunan yang dilaksanakan.

"Kerajaan tidak pernah fikirkan soal perbezaan fahaman politik dalam menyalurkan bantuan dan melakukan pembangunan, semua rakyat dilayan sama adil dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan sosial dan pendidikan," katanya semasa merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Nibong Tebal di sini Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan parti pembangkang yang sering menuding jari mengatakan kerajaan sebagai kejam, tidak adil dan pilih kasih dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.

"Kita (Barisan Nasional) bukan sebuah kerajaan yang rakus, tidak adil dan tidak saksama, banyak peruntukan yang telah disalurkan oleh kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela dan dapat menikmati kehidupan dengan selesa," katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan jentera parti agar lebih proaktif dalam usaha menambah keanggotaan Umno dan bilangan pengundi.

"Usaha ini tidak perlu tunggu sehingga hampir kepada pilihan raya baru hendak bermula. Ia harus dilakukan secara berterusan dan dalam melaksanakannya perlu berhati-hati, jangan sampai ada bantahan dan terdapat tuduhan wujudnya pengundi hantu di satu-satu kawasan," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain