suria

Suhakam Mungkin Akan Buat Ikuiri Secara Tertutup

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mungkin akan melakukan inkuiri awam secara tertutup bagi mendapatkan maklumat di dalam Inkuiri Nasional mengenai hak tanah Orang Asal dan Asli di negara ini.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata ia perlu bagi mereka yang mahu memberi maklumat berkenaan sesuatu kes berkenaan dengan hak tanah Orang Asal dan Asli.

"Sepatutnya inkuiri ini didedahkan kepada orang ramai tapi mungkin ada di antara mereka yang tidak berani menyuarakan sesuatu kes tertentu.

"Mungkin juga mereka nak input atau maklumat diberi secara rahsia, jadi kita akan buat secara tertutuplah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Inkuiri itu akan bermula di Sabah mulai 17 Jun hingga 5 Julai sebelum beralih ke Semenanjung dan ke Sarawak dengan melakukan Perundingan Awam bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai situasi tanah adat di Malaysia.

Inkuiri yang diketuai Hasmy turut dianggotai Pengerusi Jawatankuasa Hak Orang Asal Suhakam, Jannie Lasimbang.

Beliau berkata terdapat sesetengah isu yang tidak boleh diketengahkan di dalam media yang mana ia sensitif dan orang yang mahu terlibat dalam Inkuiri Nasional tersebut juga mahu menjaga identiti dan keselamatannya.

"Konsep inkuiri awam sepatutnya terbuka tapi macam mahkamah ada in-camera jadi mungkin kita buat rakaman in-camera yang mana orang lain tidak boleh dengar melainkan ahli panel dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Hasmy berkata walaupun Inkuiri Nasional yang dijalankan akan menggunakan bahasa Melayu, Suhakam juga akan mengambil inisiatif untuk mengambil perterjemah yang dipilih sendiri.

Beliau berkata antara lain ia dibuat kerana ada di antara Orang Asal dan Asli yang tidak menguasai bahasa Melayu sepenuhnya selain daripada banyaknya dialek terutama di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata perterjemah yang akan di pilih itu nanti juga dikehendaki memenuhi kriteria seperti memahami bahasa tersebut dan boleh dipercayai di mana tidak menyebelahi mana-mana pihak.

"Kita akan melantik dan mengambil penterjemah kita sendiri di mana akan terjemah dengan tepat dan tidak berlaku perkara yang mana ada "spin" contoh kalau mereka yang terlibat dalam inkuiri itu nanti cakap perkara yang negatif ditukar menjadi positif dan sebagainya, kita pulak tak tahu," katanya.

Menurut statistik Suhakam sebanyak 1,098 aduan mengenai isu tanah adat Orang Asal dan Asli diterima sejak 2002 dengan aduan tertinggi diterima di Sabah sebanyak 824, disusuli Sarawak (229) dan Semenanjung (45).

Bermula dengan kajian, inkuiri yang akan mengambil masa setahun setengah ini menggunakan beberapa penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaya bagi mendapatkan fakta selain melihat dari segi undang-undang, amalan dan prosedur yang melibatkan tanah Orang Asal dan Asli.- BERNAMA

Artikel Lain